Pengendali perkhidmatan e-dompet utama dipilih untuk inisiatif e-Tunai Rakyat

20 Disember 2019

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) hari ini mengumumkan bahawa Touch ‘n Go eWallet, Boost dan GrabPay telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam inisiatif e-Tunai Rakyat berjumlah RM450 juta. Ketiga-tiga syarikat tersebut merupakan antara pengendali perkhidmatan e-dompet yang terbesar di Malaysia dan secara kolektif menyediakan platform sedia ada untuk menyokong pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang dijadual dilancarkan pada 15 Januari 2020.

Warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 layak menerima RM30 setiap seorang melalui mana-mana pengendali e-dompet yang terlibat. Wang tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali e-dompet pilihan masing-masing. Inisiatif e-Tunai Rakyat akan berlangsung selama dua bulan dari 15 Januari 2020 hingga 14 Mac 2020.

Pengendali perkhidmatan e-dompet yang terlibat dipilih berdasarkan empat kriteria, iaitu:

  • Memiliki jumlah pengguna aktif yang besar. Ini adalah bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat mampu mencapai seramai mungkin rakyat Malaysia yang layak.
  • Rangkaian pedagang yang besar. Ini adalah untuk membolehkan sebanyak mungkin peniaga memanfaatkan insentif perbelanjaan ini, manakala pengguna pula dapat menikmati pelbagai pilihan barangan dan perkhidmatan.
  • Kepakaran teknikal, kekuatan kewangan dan sumber manusia untuk membangunkan sistem, proses dan prosedur yang diperlukan untuk inisiatif ini, serta keupayaan untuk mengendalikan urus niaga yang tinggi dalam tempoh yang singkat.
  • Pengendali e-dompet yang telah membuat pelaburan besar dalam perkhidmatan masing-masing di Malaysia.

Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan, inisiatif e-Tunai Rakyat ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan dan penerimaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang di Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit. Khazanah telah dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk memudah dan menyelaraskan pelaksanaan dan pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat dalam jangka masa yang ditetapkan.

Pengendali perkhidmatan e-dompet yang terlibat akan menyediakan maklumat lanjut tentang bagaimana rakyat Malaysia boleh memohon dan menggunakan insentif RM30 di bawah inisiatif e-Tunai Rakyat. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila lawati laman web Touch ‘n Go Digital (www.tngdigital.com.my), Boost (www.myboost.com.my), dan GrabPay (www.grab.com/my/pay).

TAMAT

Siaran Akhbar Lain

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet

Khazanah Nasional (“Khazanah”) telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet (“Syarikat”) pada tahun 2018. Pada masa itu,...

1 November 2024 Selanjutnya

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-f...

‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak KUALA LUMPUR: Khazanah...

28 Oktober 2024 Selanjutnya

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan...

Belanjawan MADANI Ketiga Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di...

19 Oktober 2024 Selanjutnya
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.