Datuk Mohaiyani Shamsudin
Pengarah, Ahli Jawatankuasa Audit & Risiko (ARC) dan
Ahli Jawatankuasa Penamaan & Ganjaran (NRC)
Datuk Mohaiyani Shamsudin dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah berkuat kuasa 12 Januari 2024. Sebelum ini, beliau merupakan Pengerusi Malayan Banking Berhad, Maybank Investment Bank Berhad, Maybank Kim Eng Holdings Ltd, Maybank Asset Management Group Berhad, Maybank Asset Management Sdn Bhd, Yayasan Maybank dan Pengarah di Aberdeen Asset Management Sdn Bhd. Beliau berpengalaman lebih 40 tahun dalam perbankan pelaburan dan pembrokeran saham, antaranya bersama Amanah Chase Merchant Bank Berhad dan Seagroatt & Campbell Securities Sdn Bhd sebelum menubuhkan Mohaiyani Securities Sdn Bhd pada tahun 1985.
Beliau telah memegang jawatan penting dalam industri pembrokeran saham, termasuk sebagai Pengarah, Dana Pembangunan Pasaran Modal, Suruhanjaya Sekuriti, Timbalan Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia Berhad) dan Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia. Beliau juga merupakan ahli beberapa kumpulan kerja nasional peringkat tinggi, termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Majlis Perundingan Ekonomi Negara II, Majlis Teknologi Maklumat Negara, Jawatankuasa Kewangan Peringkat Tinggi bagi Tadbir Urus Korporat, Kementerian Kewangan dan Majlis Penasihat Pasaran Modal, Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah pelbagai entiti seperti Universiti Teknologi MARA, Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Yayasan Kepimpinan Perdana, Gabungan Persatuan Usahawan Wanita Malaysia, Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia. Beliau juga menganggotai Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan IJN sejak 2007. Datuk Mohaiyani memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Ekonomi dari Knox College, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Cornell University, Amerika.