Khazanah ambil alih Prince Court Medical Centre (“PCMC”) daripada PETRONAS

22 Mac 2018

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini mengumumkan bahawa ia telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (“SPA”), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pulau Memutik Ventures Sdn. Bhd., bagi mengambil alih 100% kepentingan dalam Prince Court Medical Centre (“PCMC”) daripada Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”) (menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Hartabina Sdn. Bhd.).

Pengambilalihan strategik ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Khazanah dalam misinya untuk terus membangunkan sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia. Khazanah akan menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya untuk mentransformasi PCMC menjadi sebuah hospital bertaraf dunia dalam segmen pelancongan perubatan dan seterusnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah sebuah destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

Pengambilalihan PCMC ini juga selari dengan aspirasi peringkat nasional menerusi, antara lainnya, Bidang Ekonomi Utama Negara (“NKEA”) di bawah Program Transformasi Ekonomi (“ETP”), untuk menggalakkan segmen pelancongan perubatan.

Seiring dengan pemeteraian SPA tersebut, Khazanah juga telah menandatangani satu lembaran terma untuk Perjanjian Kerjasama dengan IHH Healthcare Berhad (“IHH”) bagi sokongan perkhidmatan bersama dan inisiatif peningkatan operasi di PCMC. IHH akan diberikan hak penawaran pertama untuk menguasai PCMC semasa tempoh yang telah dipersetujui.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Datuk Wira Azman Hj. Mokhtar berkata, “Kami amat gembira kerana peluang untuk mengambil alih sebuah hospital terkemuka seperti PCMC amat jarang diperolehi. Kami telah melabur dalam Pantai Holdings Berhad pada tahun 2006 dan telah mentransformasi kumpulan tersebut untuk menjadi apa yang kita dikenali pada hari ini sebagai IHH Healthcare Berhad (“IHH”), sebuah hospital tersenarai yang terbesar dalam pasaran membangun yang memiliki kira-kira 10,000 katil di 10 buah negara. Dengan bekerjasama dengan IHH, kami berhasrat untuk mengangkat kedudukan PCMC menjadi sebuah hospital terkemuka yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk pelancong perubatan.”

Siaran Akhbar Lain

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet

Khazanah Nasional (“Khazanah”) telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet (“Syarikat”) pada tahun 2018. Pada masa itu,...

1 November 2024 Selanjutnya

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-f...

‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak KUALA LUMPUR: Khazanah...

28 Oktober 2024 Selanjutnya

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan...

Belanjawan MADANI Ketiga Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di...

19 Oktober 2024 Selanjutnya
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.