Khazanah lantik Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan

29 Jun 2021

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa pada 16 Julai 2021. Beliau bakal menggantikan Datuk Shahril Ridzuan yang akan melepaskan jawatan tersebut apabila kontrak beliau tamat kelak bagi menumpukan perhatian kepada usaha peribadi.

Lembaga Pengarah Khazanah (“Lembaga Pengarah”) mengalu-alukan pelantikan Dato’ Amirul dan yakin bahawa berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan. Lembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Shahril atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, terutamanya kejayaan beliau mengetuai pelaksanaan strategi yang telah menyaksikan Khazanah berada dalam kedudukan kukuh serta mampu mengharungi persekitaran yang serba mencabar akibat penularan pandemic Covid-19.

Dato’ Amirul, 51, adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Malayan Banking Berhad (“Maybank”) sejak 1 Julai 2016. Beliau menyertai Maybank sebagai Ketua Kumpulan, Perbankan Global pada tahun 2014. Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (“CCM”) dari tahun 2010 hingga 2014, dan telah bertanggungjawab dalam usaha penyusunan semula dan transformasi perniagaan syarikat tersenarai awam tersebut. Sebelum itu, Dato’ Amirul adalah Naib Presiden Eksekutif, Projek Khas di Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) pada tahun 2010. Beliau pernah menjadi Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Pelaburan di Maybank Investment Bank Berhad dari tahun 2008 hingga 2010, bilamana beliau bertanggungjawab atas bahagian perbankan pelaburan, kewangan korporat, pasaran modal ekuiti dan modal teroka. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn Bhd dan sebelum itu memegang beberapa jawatan peringkat pengurusan di Citigroup Global Markets (Asia) Ltd, Salomon Smith Barney, Schroders dan KPMG.

Dato ’Amirul adalah Ahli Perbankan Bertauliah Asian Institute of Chartered Bankers, Ahli Institut Akauntan Malaysia dan Felo Institute of Chartered Accountants England and Wales. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi (Perakaunan dan Kewangan) daripada London School of Economics.

TAMAT

Siaran Akhbar Lain

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet

Khazanah Nasional (“Khazanah”) telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet (“Syarikat”) pada tahun 2018. Pada masa itu,...

1 November 2024 Selanjutnya

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-f...

‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak KUALA LUMPUR: Khazanah...

28 Oktober 2024 Selanjutnya

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan...

Belanjawan MADANI Ketiga Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di...

19 Oktober 2024 Selanjutnya
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.