Kenyataan berkaitan pelupusan pegangan Khazanah dalam Malaysian Shoaiba Consortium

15 Julai 2019

Kami merujuk kepada beberapa laporan media mengenai pelupusan 40% kepentingan kami dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn Bhd (“Konsortium”). Berikut adalah penjelasan kami berkaitan pelupusan tersebut:

  1. Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah melaksanakan pelaburan bersama dengan Malakoff Corp Berhad (“Malakoff”) dan Tenaga Nasional Berhad (“TNB”) pada tahun 2005 menerusi Konsortium berkenaan dalam usaha menyokong kemasukan Malaysia ke pasaran pengeluar bebas air dan tenaga di Arab Saudi. Dengan siap dan beroperasinya projek tersebut sepenuhnya, Khazanah telah berjaya mencapai objektif komersial yang ditetapkan bagi pelaburannya dalam Konsortium tersebut. Selari dengan perjanjian pemegang saham Konsortium berkenaan, Khazanah telah menawarkan 40% pegangannya kepada rakan kongsi sedia ada. Malakoff seterusnya telah menerima tawaran tersebut yang sekali gus membolehkan Khazanah melupuskan pengangannya dan memperoleh keuntungan yang baik pada nilai yang berdasarkan aliran tunai masa depan projek berkenaan.

  2. Khazanah menilai semua peluang pelupusan berpandukan sasaran kewangan dan strategik yang ditetapkannya. Sesuatu aset itu boleh dipertimbangkan untuk dilupus sebaik sahaja matlamat pelaburan serta pulangan yang disasarkan telah dicapai, seperti mana pelupusan kepentingannya dalam Konsortium ini. Sebarang pelupusan juga bergantung kepada keadaan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pihak yang mengambil alih aset tersebut.

  3. Menurut mandatnya yang telah diperbaharui, Khazanah mengendalikan dua dana berbeza iaitu dana komersial dan dana strategik. Secara amnya, dana komersial menumpukan kepada mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatan Khazanah untuk manfaat negara. Dana strategik pula memberi tumpuan kepada pelaburan domestik strategik, terutamanya dalam bidang infrastruktur.

  4. Seperti mana pelupusan lain, hasil yang diperolehi oleh Khazanah daripada pelupusan kepentingannya dalam Konsortium tersebut akan dilaburkan semula berdasarkan objektif yang ditetapkan bagi dua dana kendaliannya, atau digunakan untuk membayar balik hutangnya yang sedia ada. Bagi tahun 2019, setakat ini, Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu berumlah kira-kira RM1.4 bilion serta telah melunaskan kira-kira RM6.4 bilion daripada keseluruhan hutangnya, sejajar dengan strategi yang ditetapkan. Khazanah menjangkakan akan melaksanakan beberapa lagi pelaburan baharu pada separuh kedua tahun 2019, berdasarkan beberapa peluang pelaburan yang sedang dipertimbangkan.

TAMAT

Siaran Akhbar Lain

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet

Khazanah Nasional (“Khazanah”) telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet (“Syarikat”) pada tahun 2018. Pada masa itu,...

1 November 2024 Selanjutnya

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-f...

‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak KUALA LUMPUR: Khazanah...

28 Oktober 2024 Selanjutnya

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan...

Belanjawan MADANI Ketiga Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di...

19 Oktober 2024 Selanjutnya
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.